Saturday, 28 April 2012

ISLAM DALAM SEJARAH DUNIA


Firman Allah S.W.T.:
  1. 1. “Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi
    rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiyaa: 107)
  2. 2. “Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan” (Saba’: 28)
  3. 3. “Katakanlah: Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan
    Allah kepada kamu semua“(Al-A’raaf: 158).
Islam adalah agama universal, agama untuk manusia seluruhnya. Sejak kemunculannya konsep kesejagatan telah sedia difahami. la ti­dak memerlukan sampai berabad-abad untuk menyedari keperibadian universal itu. Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas: ‘The idea of the universal religion did not originate in man’s intellect and gra­dually evolve and develop in his culture and history”. Ertinya ide uni­versalisme bukannya berasal dari pemikiran manusia, tetapi dari ajaran agama itu sendiri.
Atas sifatnya sebagai agama universal, maka tidak hairanlah jika dengan kemunculannya ia dengan sekelip mata telah merubah sejarah dunia. Selain dari membawa revolusi besar di Tanah Arab, kemunculan Islam telah memulakan Zaman Pertengahan bagi Dunia Eropah. Me­nurut Henri Pirenne, kemunculan Islam telah membawa dua perubahan besar:
  1. 1. Pemusnahan perpaduan kebudayaan (Barat) di sekitar Laut Tengah, yang sejak berabad-abad membentuk cara hidup penduduk­-penduduk di situ.
  2. 2. Pemindahan punca atau paksi kehidupan bangsa Eropah dari Rom
    ke Utara yang berpusat di Aix La Chapelle sewaktu kerajaan Ca­rolingian (481-877 M) sedang berkuasa di situ.
Dengan perubahan-perubahan tersebut, ini bermakna kemuncul­an Islam bukan sahaja merubah ‘jasad’ (body) orang-orang Eropah, bah­kan (soul) mereka juga. Bagi Henri Pirenne, perubahan-perubahan seperti inilah yang seharusnya menjadi kriteria sebenar dalam menentu­kan permulaan Zaman Pertengahan di Eropah. Ertinya, Islamlah yang bertanggungjawab dalam memulakan zaman baru di Eropah. Memang pernah dikatakan bahawa Zaman Pertengahan bermula dengan kejatuh­an Empayar Rom pada akhir abad ke-6 M., akibat serangan Kaum Bia­dab Jerman. Sebenarnya menurut Pirenne, pencerobohan Kaum Biadab itu tidaklah membawa apa-apa perubahan kepada sejarah Eropah oleh sebab mereka datang dengan kehampaan budaya. Sebab itu setelah menakluki Empayar Rom, Kaum Biadab itu mengambil gilirannya untuk ditakluki pula oleh kebudayaan Rumawi, hingga terpaksa mengabdi kepada cara dan kebiasaan hidup Rumawi, dan dengan demikian memperkukuhkan dan memperkekalkan keadaan yang telah sedia ada.
Ketika menggambarkan suasana Zaman Pertengahan tersebut, Bertrand Russell menegaskan: “A great deal of the Middle Ages may be interpreted as a conflict between Roman and Germanic traditions: on the one side the Church, on the other the State; on the one side theology and philosophy, on the other chivalry and poetry; on the one side the law, on the other pleasure, passion, and all the anarchic, impulses of very headstrong men”. Jadi bagi Russell, salah satu ciri Zaman Pertengahan ialah konflik antara kuasa Gereja dengan kuasa Negara. Kuasa negara di tangan Raja, sedangkan kuasa agama di tangan Gereja. Bagaimanapun dalam konflik tersebut, kuasa Gereja mencapai kemenangan. Ujar Russell: “All the armed forces was on the side of the Kings, and yet the Church was victorious”.

No comments:

Post a Comment